Pintu dikuak luas. Seorang lelaki dilihat terbaring di atas katil.
“Im, jom turun, dah nak azan ni.” Maisarah, selaku kakak sulung memanggil adik-adiknya untuk berbuka.
“Okay”. Imran menjawab malas. Pintu ditutup hampir sepenuhnya, kemudian dibuka semula pantas.
“Ouh ya, jangan lupa ajak Is sekali. Khal dah ada kat bawah”. Pintu ditutup rapat. Imran hanya membalas dengan pandangan dari hujung mata.
Alhamdulillah selesai tarawikh untuk hari ni. Jarang dapat bersama cukup satu keluarga. Ayah, ibu, aku, Imran, Khalisah dan Faris. Ya, kami 4 beradik. 2 lelaki dan 2 perempuan. Kalau ikutkan hari kebiasaan, agak sukar untuk kami berkumpul satu keluarga. Ayah dan ibu bekerja, aku di universiti di Kelantan, Imran di Perak, Khalisah universiti tempatan berdekatan rumah manakala Faris pula masih di sekolah menengah jauh nun di Perlis. Kami tinggal di negeri Pahang, boleh kata dari lahir lagi. Tempat makan sedap-sedap, selok belok jalan, sekolah dan tempat pelancongan ke apa semua kami tahu. Ayah dan ibu memang mendapat kerja di sini dari dahulu.
Hari ini aku dapat saksikan seantero dunia diuji dengan wabak merbahaya, iaitu Corona Virus disease 2019 (Covid 19). Adalah sikit aku tahu tentang virus ni daripada Prof Emad, yang mengajar subjek Mikrobiologi di kelas. Dunia kini dihimpit pelbagai kesusahan dan kesulitan. Di tanah air sendiri, sekolah-sekolah dan insititusi-institusi pengajian tinggi ditutup, kedai-kedai makan dan pusat beli-belah tidak boleh beroperasi, jalan raya disekat, sempadan negara dikawal ketat, penerbangan antarabangsa tidak dibenarkan dan lain-lain lagi. Sudah genap 3 minggu kami di rumah berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan oleh kerajaan. Keluarga kami juga merasai kegusaran menghadapi wabak ini kerana ibu dan ayah merupakan frontliner, yang berhadapan dengan pesakit secara langsung di hospital.
Hikmah daripada musibah, pelajaran daripada ujian. Setiap perkara ada hikmahnya. Sama ada untuk terus mengeluh dan merungut, adalah lebih baik untuk kita memanfaatkan apa yang kita boleh lakukan, setakat yang mampu. Macam sekarang, bukan senang nak cuti lama-lama macam ni kan. Dapat banyak masa bersama keluarga. Ramadhan pula biasanya jarang dapat cuti sebulan penuh. Subhanallah, mungkin Allah nak beri kita membuat persiapan dengan masa yang ada untuk merebut peluang yang hanya datang setahun sekali.
Angin lembut menyapa pipi. Udara nyaman menenangkan fikiran. Pandangan dilemparkan ke arah bulan, mengagumi ciptaan Tuhan. Keindahan malam dinikmati.
Semua mengambil tempat duduk di meja makan. Bersedia untuk berbuka puasa, masing-masing memainkan peranan. Ada yang menghidang makanan, ada yang menyediakan pinggan mangkuk, ada juga sedang duduk di meja khusyu’ berdoa di waktu mustajab ini.
“Allahu akbar Allahu Akbar…” Kalimah membesarkan Allah dilaungkan.
Doa dibaca. Kurma dicapai. Air diteguk. Alhamdulillah.
Usai iftar ringan dan solat Maghrib berjemaah, mereka langsung menikmati juadah nasi bersama. Lauk berbuka hari ini ialah ikan siakap stim mengikut resepi yang diberikan pensyarah dalam whatsapp group kelas tempoh hari. Cuti-cuti ni pensyarah juga tidak mahu pelajar stress agaknya. Semua makan dengan berselera sekali.
“Burpp” Suara Faris memecah suasana. Serentak semua tertumpu pada Faris. Khal buat muka tanda geli.
“Kenyang sangatlah tu” Ibu memberi respons terhadap Faris.
“Tulah, sedap sangat Kak Mai masak, sampai ke depan dah perut Is” Bibir dijuih ke hadapan, sambil tangan mengusap-usap perut.
Jawapan Faris diikuti gelak tawa semua.
“Eee, mestilah ke depan, ada ke perut ke belakang” Khal membalas dengan suara manjanya.
“Ada apa perut yang ke dalam” Is membalas, tak nak mengalah.
“Haa, kalau camtu dalam istilah perubatan dipanggil scaphoid kan kan” Mai cuba mengaplikasikan apa yang dipelajarinya dengan wajahnya memandang kearah ibu dan ayah, meminta pengesahan. Sebenarnya dia cuba untuk memutuskan perbalahan mulut yang berlaku. Bukan jangkitan Covid sahaja perlu di putuskan, pergaduhan seperti ini juga perlu diambil tindakan pantas sebelum perang dunia ke-2 bermula.
Dr Yusoff dan Dr Lina mengangguk kecil sambil tersenyum tanda mengiyakan.
Beginilah kami sekeluarga, ada saja karenah masing-masing. Rumah tidak pernah sunyi dengan telatah dan senda tawa. Dr Amir Yusoff dan Dr Nurlina Yusra. Dua-dua bekerja di hospital kerajaan, sebagai pengamal perubatan. Nur Maisarah Hani. kakak sulung yang agak tegas juga seorang yang bertanggungjawab. Boleh kata garang juga, selalu ambil peduli tentang adik-adiknya yang lain memandangkan dari kecil ibu dan ayah mereka agak sibuk dan jarang berada di rumah. Muhd Imran Karimi pula mungkin nampak seperti sombong dan senyap. Tetapi dia sebenarnya seorang yang sangat mengambil berat tentang orang lain. Kalau Kak Mai tiada, dialah yang menjaga adik-adiknya. Nur Khalisah Amni si hati lembut dan manja, sentiasa menceriakan suasana. Sama naik juga dengan Muhd Faris Hakimi, ada saja adegan-adegan merepek yang mencuit hati.
Selesai makan, mereka kemas dapur bersama-sama. Tiada yang terkecuali. Memang dari kecil ibu dan ayah didik mereka begitu. Cuma biasalah, ada juga kadang-kadang yang mencuri tulang dengan memberikan pelbagai alasan.
Mai mengemas meja, Imran membasuh pinggan, Khal menyapu lantai dapur dan Faris menyusun pinggan yang telah dibasuh. Sambil-sambil berjalan Mai memantau adik-adiknya. Menjeling ke arah sinki, Imran kelihatan sedang menghabiskan bilasan terakhirnya.
“Im, nanti jangan lupa basuh sisa-sisa nasi di sinki tu” Mai mengingatkan.
“Tapi kat sini takde paip” Laju Imran membalas sambil tangannya ditunjukkan ke sinki.
Memang di dapur paip ada di satu sinki sahaja kerana satu paip lagi bocor dan tidak boleh digunakan.
“Ya, memang paipnya takde, tapi otaknya ada tak” Sedas sekali. Mematahkan kata-kata.
Imran mencebik. Dia kemudian mengambil bekas, lalu dibilas sinki tersebut.
Huarghh... tubuh dihempaskan di atas katil. Menegangkan urat-urat.
“Ish Abang Im, dah macam beruang. Jom solat” Faris memanggil.
“Alaa, nak rehat jap” Sambil badan digolek-golek ke kanan dan ke kiri. Ke sana dan ke sini.
“Takpe... nanti lepas Isya boleh rehat” Tenang Faris memujuk.
“Eh, bukan lepas Isya ada Tarawikh ke?” Pergerakan Imran terhenti seketika. Dahi berkerut sambil melihat tepat pada wajah Faris.
“Yelah, bukan ke Tarawikh tu maksudnya rehat ke” Bersahaja. Tetapi berhikmah.
“Hmm yelah-yelah” Imran memaksa dirinya bangun. Tubuh diheret menuju tandas. Faris tergelak kecil melihat abangnya itu.
Faris tiba-tiba teringat pada buku 30 Renungan Ramadhan karangan Dr Aidh Al-Qarni yang dibacanya baru-baru ini. Di dalamnya menyebut perihal rumah Islami iaitu rumah yang dibangun di atas dasar ketakwaan, tiangnya takwa kepada Allah, talinya amal shalih dan tamannya taat kepada perintah Allah. Beliau menyatakan bahawa amanat yang paling agung adalah amanat memperbaiki keluarga.
Sepertimana firman Allah SWT di dalam surah At-Tahrim ayat 6;
“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka…”
Sungguh bulan Ramadhan melimpahkan ruhaniah dan ketenangan ke dalam rumah Muslim, ia membangunkan penghuni rumah untuk solat malam, mengajak mereka menjalankan ibadah puasa siang hari dan membawa mereka mengingat Allah.
Moga Allah Jadikan rumah kami sebagai rumah Islami, yang ahlinya sentiasa mengingatkan antara satu sama lain, doa Faris di dalam hati.
Alarm berbunyi. Nasyid “Qum Zalzil Zalzalah” yang menceritakan perihal perjuangan Hamas, tentera muslimin di Palestin memenuhi ruang. Sengaja dipilih nasyid itu, supaya sentiasa membangkitkan semangat ruh untuk bangkit berjuang. Berjuang melawan nafsu.
Selesai menyucikan diri dan mengambil wudhu’, Khal mencapai Al-Quran. Helaian kitab agung itu diselak perlahan. Surah Az-Zariyat dibaca dari awal. Satu persatu ayat dibaca penuh tartil.
“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman Syurga, dengan matair-matair terpancar padanya” (Az-Zariyat: 15)
Ayat yang menceritakan perihal orang-orang bertaqwa dan ciri-cirinya. Ayat seterusnya disambung.
“(Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan.” (Az-Zariyat: 16)
Ciri pertama disebut sudah menyentap hati. Terasa kecil diri ini, tiada apa-apa.
“Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja: masa dari waktu malam, untuk mereka tidur” (Az-Zariyat: 17)
Sedangkan diri ini sering saja lalai, tetapi masih saja meninggalkan solat malam, waktu yang enak untuk tidur.
“Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun)” (Az-Zariyat: 18)
Ayat itu diulang berkali-kali. Waktu sahur, waktu yang berkat. Selalu kita tidak mengambil peluang keemasan itu untuk beristighfar dan memohon ampun daripada Allah. Hati manusia yang dibacakan ayat-ayat Allah, menjadi lembut. Hati yang takut pada Allah, akan menggerakkan seluruh anggota untuk mentaati perintah dan menjauhi laranganNya.
Khalisah menangis teresak-esak. Setitis demi setitis air matanya gugur di atas telekung putihnya.
“Dan pada harta-harta mereka, (ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta).” (Az-Zariyat: 19)
Al-Quran sebagai petunjuk yang membimbing manusia ke jalan yang lurus dan menjadi peringatan buat yang mengambil pelajaran. Malangnya sedikit sekali yang mengambil pelajaran.
Dia bermuhasabah. Tenggelam dalam mentadabbur ayat-ayat suci Al-Quran Al-Kareem.
Dr Lina mengetuk pintu bilik. Nur Maisarah Hani masih di meja belajar, mengulang kaji pelajaran. Dengan perlahan dia masuk menerpa.
“Mai, petang ni tak perlu masuk dapur tak pe, adik-adik ada, akak boleh fokus belajar dulu. Tahun ni ada pro exam kan” Mai hanya tersenyum lemah. Siapa yang tak risau nak hadapi peperiksaan besar itu.
“Benar, ambil bidang perubatan ini memang susah, tetapi ianya tidak mustahil. Allah nak bagi banyak pahala melalui kesusahan ni” Kata-kata keramat yang sentiasa diulang.
“Mai belajar elok-elok, nanti boleh berbakti kepada masyarakat. Mereka perlukan kita”
Suara lembut ibu menenangkan hati. Tangannya pula menepuk perlahan belakang anak sulungnya itu.
“Ya betul, ayah bagi pelepasan, tak perlu mohon dalam aplikasi Gerak Malaysia pun takpe” Tiba-tiba muncul Dr Yusoff menapak masuk dari belakang sambil tangannya membuat gaya “good”. Gerak Malaysia, aplikasi yang digunakan untuk memohon pelepasan merentas negeri, yang mula diperkenalkan ketika PKP berhubung wabak Covid 19 ini. Mereka bertiga kemudian tertawa.
Dia sedang berada di halaman rumah, menikmati suasana malam. Angin malam terasa menusuk hingga ke tulang.
Kepala didongak ke atas.
Selenophile. Memang hobinya melihat bulan sambil melayan perasaan. Kalau Hlovate menghasilkan buku mengenai “bicara atap” atau diberi nama “rooftop rant”, dia mungkin boleh menulis buku berjudul “bicara bulan”, dia tertawa kecil. Berangan.
“Hani…” Seorang lelaki berdiri terpacak di belakangnya.
Nur Maisarah Hani tersedar dari lamunan. Kepala ditoleh sedikit ke belakang. Wajah suaminya dipandang redup.
Ya, dia sudah pun berkahwin dan mereka kini menetap nun jauh di Ireland untuk sama-sama menyambung pengajian Ijazah Sarjana. Sedar tak sedar, sudah hampir 3 tahun di sini, dan tahun ini merupakan pertama kalinya tidak pulang berpuasa dan beraya bersama keluarga kerana terdapat kekangan-kekangan yang tidak mengizinkan. Walaupun kadang-kadang hanya balik sekejap saja, itupun sudah suatu kebahagiaan baginya. Sungguh, jauh di sudut hati dia merindukan mereka. Gelak tawa, senda gurau, tangis, rajuk, usikan, semua tentang mereka. Segala memori sentiasa terpahat di hati. Namun dia mengerti, ada amanah dan tanggungjawab yang lebih berat perlu dia pikul di sini.
“Jom masuk, dah lewat ni”
Segaris senyuman dipaparkan sambil kepala diangguk perlahan. Sejenak dia memalingkan wajahnya kembali ke posisi asal. Melemparkan semula pandangannya ke bulan, sebelum beransur melangkah masuk ke dalam rumah.
1 Ramadhan,
Ku menatap bulan yang sama. Tetapi, di bumi yang berbeza
Tidak kira di mana jua kita berada, ia tetap saja ada di langit sana
Sebagai tanda kasih sayang Tuhan Yang Esa
Bulan, memantulkan cahaya
Begitu juga hati, memantulkan keimanan
Ramadhan yang dinanti tiba jua
Hadirnya bersama sejuta Rahmat
Kunjungannya membawa cahaya buat seluruh ummat
Menyinari hati orang-orang beriman
Yang siang malamnya dimanfaatkan
Semoga sama-sama kita mengambil kesempatan
Sehingga kita dijemput pulang bertemu Tuhan
-TAMAT-
Nota kaki: Ini ialah cerpen yang saya tulis untuk pertandingan semasa awal-awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu. Pada mulanya, saya terlupa untuk buat dan terlepas tarikh tutup pertandingan. Saya dah redha masa tu. Namun tiba-tiba mendapat berita bahawa tarikh pertandingan dipanjangkan. Saya fikir tiada alasan untuk saya tidak menulis (masa tu pun kelas belum bermula kerana masih dalam ketidakpastian boleh pulang ke kampus semula ataupun tidak). Saya cabar diri saya untuk tulis cerpen walaupun saya tahu saya kurang kreatif mengarang cerita haha. Lot more to improve. Sebenarnya saya hanya menggabungkan beberapa scene dan jadilah sebuah cerita :) Saya tulis beberapa malam selepas tarawikh. Suprisingly Alhamdulillah, dapat no3 :D Saya letak di sini supaya menjadi manfaat bersama. Terima kasih kerana membaca! (Ouh ya, watak-watak ini tidak wujud ya, semuanya hanyalah rekaan semata-mata).