Sunday, 17 October 2021

Olimpik Tokyo 2020 dan mentaliti kelas dunia

Baru-baru ini telah berlangsung Olimpik di Tokyo yang mana sepatutnya diadakan pada tahun lepas, namun ditunda kerana pandemik yang melanda dunia. Negara-negara seantero dunia menghantar atlet-atlet terbaik mereka untuk bertanding di sana. Oleh kerana faktor keselamatan, Olimpik kali ini memberi pendekatan berbeza dengan menerapkan SOP tertentu terutama di pusat penginapan, dan juga stadium perlawanan. Bilangan penyokong yang boleh hadir ketika perlawanan juga menjadi terhad. Penyokong2 dari seluruh negara mengambil tempat di hadapan televisyen dan juga komputer riba mereka untuk menyaksikannya secara langsung. 


Sukan merupakan satu arena yang menyatukan pelbagai manusia tidak kira agama, bangsa dan negara. Begitu juga rakyat Malaysia; semangat kesukanan yang tinggi ditunjukkan oleh semua lapisan masyarakat. Pemimpin negara, bekas atlet negara, artis tanah air, pekerja mahupun pelajar, dewasa juga kanak2, semua tidak terkecuali, termasuklah kami selaku penuntut universiti yang ketika itu sedang menjalani study week iaitu jangka masa seminggu persediaan sebelum peperiksaan (curi2 mengambil 'break' menonton perlawanan dengan harapan menghilangkan stress belajar eh boleh pulak haha). Antara acara yang menjadi tumpuan rakyat Malaysia termasuklah acara gimnastik, badminton, terjun(diving) dan juga berbasikal yang menjadi harapan untuk membawa pulang pingat sukan berprestij dunia itu.


Acara-acara tersebut disokong meriah oleh rakyat di tanah air. Di asrama, kedengaran bunyi riuh rendah suara pelajar2 tidak terlepas memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi. Setiap acara berjalan dengan baik dan lancar. Pingat pertama Malaysia diraih oleh pasukan beregu badminton. Acara berikutnya, acara kemuncak bagi terjun dan acara berbasikal berlangsung pada hari terakhir temasya itu. Masing2 telah melakukan yang terbaik, namun tiada rezeki diperoleh melalui acara terjun. Acara berbasikal yang seterusnya menjadi taruhan seluruh rakyat, berlangsung dengan begitu hangat sekali. Diwakili oleh atlet negara yang tidak asing lagi; Dato Azizulhasni Awang dan juga Shah Firdaus. Namun begitu, insiden yang tidak diingini berlaku terhadap Shah Firdaus yang menyebabkan beliau menghadapi kecederaan di bahu. Dato Azizulhasni meneruskan perjuangan dan berjaya peroleh pingat perak buat negara. Suatu pencapaian yang amat membanggakan. Kejayaan yang sungguh epik disaksikan oleh berjuta rakyat Malaysia. Semua atlet telah menunjukkan usaha dan semangat mereka yang tinggi untuk melakukan yang terbaik. Pengorbanan demi pengorbanan dilakukan dan telah mereka tunjukkan keupayaan serta kehebatan mereka tersendiri yang melayakkan mereka beraksi di arena antarabangsa ini.


Panjang bukan main pendahuluan, dah macam pengulas sukan haha. 


Olimpik sudah berakhir, dan atlet2 sudahpun pulang ke tanah air menjalani kuarantin. Satu demi satu temu ramah dilakukan membongkar pelbagai kisah kejayaan mereka. Termasuk kisah pengorbanan meninggalkan keluarga jauh merentasi benua bagi menjalani latihan dan persediaan untuk pertandingan. Sakit, penat dan lelah. Itulah perkataan yang boleh digambarkan buat mereka. Namun begitu, itu semua tidak membakar semangat mereka untuk terus maju kehadapan. Antara temu ramah yang menarik perhatian saya ialah temu ramah bersama Dato' Azizulhasni Awang; yang masyhur dengan gelaran the roket pocketman. Saya suka semangat dan cara fikir yang beliau tunjukkan yang mana saya rasa amat patut untuk dicontohi. Fokus utama post ini sebenarnya bukan berkaitan sukan, namun berkaitan mentaliti; cara berfikir mengenai sesuatu. 


Antara yang sering disentuh oleh beliau ialah berkenaan mentaliti. Saya yakin, dengan mentaliti beliau seperti inilah yang membawa beliau ke persada antarabangsa. Beliau pamerkan world class mentality yang sepatutnya menjadi contoh buat kita semua. Cara berfikir merupakan sesuatu yang amat penting kerana ia merupakan titik mula sesebuah kejayaan. Bagaimana kita boleh berjaya jika kita sendiri tidak yakin dengan diri sendiri?


Jika kita berjaya mengatasi minda kita, itu sudah dikira satu kejayaan. Kita menang sebelum menang. Kita menang sebelum bertanding secara fizikalnya. Keputusannya lain cerita, yang penting titik mulanya betul. Outcome nya mungkin kadangkala tidak seperti yang diinginkan, namun itu bukan di bawah kawalan kita. Keputusannya Allah Beri setelah kita usaha dan bertawakkal. Kita hanya mampu usaha sehabis mungkin dan redha dengan ketentuanNya.


Elemen2 badan kita sangat dinamik dan ianya berkait antara satu sama lain. Apabila mental kita sihat, fizikal kita akan turut sama. Ia akan selari. Begitu juga jika sebaliknya. 


Saya teringat kisah saya taekwondo dahulu,  ketika tournament. Sebelum perlawanan, saya akan mencuri2 lihat siapakah bakal saingan saya nanti. Warna tali pinggang selalu menjadi kriteria untuk saya menduga keputusan. "Alamak, dia dah tali merah, saya baru biru, dia lagi lama dalam taekwonod, mesti lagi expert". Begitu mudah kita judge diri sendiri. Tiada orang pun yang cakap sebegitu, kita sendiri yang menjatuhkan diri, menyebabkan keyakinan menjadi luntur perlahan2. Dengan pemikiran seperti inilah yang membuatkan kita terbatas. Kita sendiri mengepung, mengurung dan memenjara diri sendiri untuk memberikan yang terbaik. Kita dirantai kata-kata halus yang merosakkan. Kadangkala, halangan terbesar itu adalah diri kita sendiri. 


Kita adalah apa yang kita fikir. Tiba2 lagu ni bermain di fikiran >.<

"Jika kau fikirkankau boleh, kau hampir boleh melakukan.

Jika kau fikirkan ragu-ragu, usaha mu tak menentu."



Perkara ini bukan sahaja untuk sukan, tetapi boleh juga diaplikasi dalam perkara-perkara lain seperti belajar.


Kita selalu ada insecurity dalam diri kita. Ada inferiority complex; rasa diri tak cukup hebat, tak layak dan sebagainya. Membanding2kan diri dengan orang lain, terlalu fikir apa yang orang lain kata. Padahal itu semua hanyalah perasaan kita sahaja. Atasi pemikiran seperti ini. Runtuhkan dinding2 penghalang ini terlebih dahulu. Fokus pada diri kita, bukan orang lain. Kerana akhirnya, kita sendiri yang akan menentukan hidup kita.


Tidak dinafikan, mengatasi minda kita sendiri bukanlah suatu yang mudah dan ianya merupakan suatu proses. Antara cara yang boleh kita lakukan ialah kerap bercakap dengan diri sendiri. Pernah dengarkan selalu kalau program motivasi mereka suruh kita supaya bercakap depan cermin setiap pagi. Katakan yang saya boleh. Saya hebat. Saya mampu. Ini untuk menanam pemikiran yang betul yang menjadi perangsang hidup sehari2. Ataupun senang kata perbetulkan niat kita. Ambil beberapa ketika untuk set pemikiran dan niat sebelum memulakan apa sahaja. Jadikan diri kita motivasi untuk kita sendiri.


Antara perkara yang kita perlu sedar juga, ialah kejayaan yang kecil akan membawa kepada kejayaan yang besar. Seperti dalam sukan, terdapat tapisan demi tapisan untuk melayakkan ke peringkat seterusnya. Jika kita tidak mampu mengatasi rintangan ataupun ujian tersebut, kita tidak akan dapat pergi ke peringkat yang lebih tinggi. Oleh itu, mulalah dengan atasi pemikiran diri kita sendiri dahulu. Analisis kelemahan dan ketakutan diri. Perbetulkan dan majulah ke hadapan.

~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~

So, dear you;


Whatever that you are struggling with right now, I want you to always believe in yourself. You got this! You can achieve whatever you want. You are capable of more than you know okay. Fighting! :D

~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~




P/s: Post ni ditulis masa bulan 8 tapi itulah baru sempat dilengkapkan hari ini :')












Read More

© Permata di celahan kaca, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena