Wednesday, 23 November 2016

Success occurs when opportunity meets preparation

Malam itu, seperti biasa, saya mengulangkaji pelajaran bersama sahabat yang sama dan subjek yang sama, tidak lain dan tidak bukan, Sejarah, kerana bagi saya, subjek ini bagi saya memang memerlukan sahabat supaya boleh saling terang menerangkan antara satu sama lain. Malam itu tempat kami mengulangkaji bukan di beranda, tapi di dorm An-Nur, dorm sahabat saya.

Sementara menunggu sahabat saya sedang bersiap-siap, saya melirik ke sekitar dorm, memang kebiasaannya saya bergini (suka memerhatikan sekeliling). Dan mataku terpaku pada hiasan dorm yang berbentuk kata-kata dalam Bahasa Inggeris, dan ia amat menarik perhatian saya.

Kata-kata tersebut berbunyi begini:
"Success occurs when opportunity meets preparation"
Atau bahasa melayunya boleh dikatakan seperti:
"Kejayaan terjadi apabila peluang bertemu persediaan"

Allahu, sangat menepati dengan keadaan diri ini.
Yang masih lagi bergelar pelajar, juga calon peperiksaan besar SPM pada ketika itu.

Ia memberi gambaran jelas kepada saya.
Iaitu dua perkara yang perlu ada untuk meraih kejayaan,
1- Peluang
2- Persediaan

Peluang.
Tidak semua manusia mendapat peluang untuk menyambung pelajaran, juga tidak semua pelajar berpeluang mengambil SPM. Cuba bayangkan, kalau kita tidak dapat mendaftarkan diri untuk SPM, adakah kita boleh mengambil peperiksaan tersebut, seterusnya untuk berjaya? Sudah tentu tidak. Pernah juga suatu ketika, saya pernah melewati satu kampung, saya melihat beberapa orang kanak-kanak sedang bermain Badminton. Habat sekali permainannya. Saya fikir lincahnya pergerakan  mereka seperti pemain Badminton no1 dunia, Dato' Lee Chong Wei. Namun saya berfikir sejenak. Mereka layak untuk menjadi wakil negara, mereka layak untuk bergelar jaguh badminton, tetapi mengapa mereka tidak sampai di peringkat itu? Ya. Kerana peluang. Tidak semua manusia mendapat peluang masuk ke pertandingan terkemuka atas adanya sebab-sebab yang membataskan mereka, mungkin kerana kenderaan, mahupun yuran, dan lain-lain. Tetapi jangan risau, peluang itu ada dimana-mana. Kalau Allah tidak mentakdirkan kita untuk mendapat Straight A SPM, mungkin semasa di universiti nanti kita boleh cuba untuk dapatkan 4.0 flat. Dan yang paling penting, jangan sia-siakan peluang yang ada. Jarang biasanya peluang itu datang dua kali.

Persediaan.
Untuk menjayakan setiap satu perkara, mesti perlukan persediaan. Contoh kalau nak buat air kopi, perlu panaskan air dahulu, sediakan cawan, dan sebagainya. Begitu juga dalam bergelar seorang pelajar. Semua jalan menuju kejayaan itu boleh dikatakan sebagai satu persediaan. Ianya termasuklah fokus di dalam kelas, mencari cara supaya tidak mengantuk di dalam kelas, bertanya kepada guru, mengulangkaji, dan lain-lain. Persediaan ini sangatlah penting. Cuba bayangkan jika kita tidak mempunyai apa-apa persediaan? Contoh yang kebiasaannya berlaku jika di universiti, pensyarah mengadakan kuiz secara mengejut tanpa diberitahu terlebih dahulu. Ya, memang semestinya semua pelajar pasti tidak tahu tajuk apa yang akan ditanya dalam kuiz tersebut. Jadi ketika inilah tahap persediaan pelajar itu dapat dilihat. Pelajar yang cemerlang mampu menjawabnya mungkin kerana mereka ulangkaji, paling tidak pun, mereka fokus terhadap apa yang pensyarah sampaikan ketika kelas. Antara salah satu tujuan pensyarah melakukan sedemikian adalah untuk menguji tahap persediaan para pelajar. Saya teringat satu kata-kata, ketika saya dan rakan-rakan sepasukan dipilih untuk mewakili negeri ke pertandingan debat peringkat kebangsaan, seorang pelatih kami sentiasa mengingatkan kami : "Expect for the best, prepare for the worst". Yes, that's true. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku. Jadi kita harus bersiap untuk mengahadapi sebarang kemungkinan yang bakal terjadi. Supaya meskipun kita sudah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai apa yang kita inginkan tetapi apabila ianya tidak seperti yang diharapkan, kita tidak kecewa. Kerana persediaan itu sudah ada.

Sementelahan itu, apabila kita sudah faham kedua-dua kriteria tersebut, cuba kita gabungkan ayat di atas semula.
Apa akan jadi apabila adanya peluang, tetapi tiada persediaan?
Apa pula akan jadi apabila persediaan itu ada, tetapi peluangnya tiada?
Perkara ini memang berlaku di sekeliling kita. Dan mungkin kita boleh fikirkan contohnya sendiri.

Tetapi yang paling penting antara yang penting ialah keizinan daripada Allah. Semua yang berlaku, bergerak, berjalan di dalam alam semesta ini berlaku hanya dengan izin Allah. Semua boleh terjadi dengan izinNya dan begitu juga sebaliknya. Namun kita manusia, hanya mampu berusaha.

Dengan itu saya ingin menambah sedikit kata-kata tersebut:
Success occurs when opportunity meets preparation, bi iznillah.

Selamat berusaha. Semoga kejayaan mengiringi kita semua😊



Read More

© Permata di celahan kaca, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena