Wednesday, 3 March 2021

Fi hifzillah

Lagi beberapa hari lagi untuk pulang ke kampus, ayah membawaku ke bandar untuk memasang tinted kereta. Setelah selesai, kami beransur pulang. Aku duduk di tempat duduk penumpang dihadapan. Aku melihat ke luar kereta, menerusi cermin kereta yang telah di tinted gelap. Suasana redup, awan kelihatan mendung hampir menutup langit. Fikiranku di awangan. Aku mula bermuhasabah. Biasanya waktu yang paling baik untuk bermuhasabah ialah ketika anda berseorangan dan di saat anda sedang menikmati alam. Tambah pula duduk di tepi tingkap; “merenung ke luar jendela” gitu. Otak mula berfikir dan hati berbicara sendiri. Segalanya dikaitkan dengan kehidupan. Aku melihat tinted kereta dengan penuh sayu, memikirkan betapa seorang ayah ingin melindungi anaknya dengan sekecil-kecil perkara. Dalam kisah ini hanya untuk melindungi daripada panas terik matahari ketika membawa kereta. Aku akui sebagai ibu bapa, mereka sentiasa mahukan yang terbaik untuk anak mereka. Mereka menjaga anak mereka daripada kecil sehingga mereka besar. Daripada sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besar perkara. Samada di hadapan mereka ataupun tidak, mereka akan cuba sebaiknya untuk menjaga. 


"Dah makan?"

"Dah solat?"

"Dah mandi?"

"Hari ini pakai baju apa?"

"Hari ni makan apa?"

"Keluar dengan siapa?"

"Quran baca tak?"

"Duit cukup?"

"Belajar okay?"


Soalan-soalan yang seringkali mereka ajukan, tidak lain dan tidak bukan untuk menjaga permata hati mereka. Di saat dalam perjalanan juga mereka akan risau menanti sehinggalah anak mereka selamat tiba ke destinasi. Aku masih teringat kisah adikku pulang ke kampusnya menaiki bas. Di saat tengah malam ayahku menjejakinya melalui apps di telefon pintar. Melihat lokasinya di mana ketika itu. Namun sesuatu yang tidak dijangka terjadi. Saat di perhentian yang sepatutnya dia berhenti, dia tidak turun di situ. Ini bermaksud dia terlepas stesen yang sepatutnya. Ayahku menghubunginya berkali-kali namun tidak terjawab. Tertidur barangkali. Setelah itu barulah dia tersedar; setelah sejam perjalanan daripada stesen yang sepatutnya. Dia kemudiannya mengambil bas semula ke tempat yang sepatutnya dan terlambat untuk ke kelasnya pagi itu. Di sini menunjukkan bahawa mereka sentiasa memikirkan kita dalam banyak aspek, dalam banyak waktu, dalam banyak keadaan. Menjenguk kita di waktu malam, memastikan kita selesa dan dapat tidur dengan baik. Terlalu banyak situasi yang membuatkan kita ponder dan berfikir, serta tidak ragu-ragu lagi betapa besarnya kasih sayang mereka terhadap kita. Kerana itu, hargailah pengorbanan ibu bapa. Kita tidak mungkin boleh membayangkan bagaimana mereka menjaga kita sebelum kita dilahirkan ke dunia ini lagi.


Bila cakap pasal permata hati, teringat pula satu video nasyid ni.



Sendu ya ingat kat parents :') Okay dah2, lap air mata. 


Hari ini aku sudah pun di universiti, sedang menjalani kuarantin selama 10 hari, sebelum dibenarkan masuk ke mahallah. Aku merenung ke luar tingkap, dengan perasaan yang sama, tetapi keadaan yang berbeza. Melihat alam kehijauan, dengan langit terbentang luas, serta bunyi-bunyian burung yang berkicauan. Aku bermuhasabah akan perkara yang sama. Namun kali ini, dengan lebih mendalam dan menyeluruh.


Sebagai manusia biasa, kita juga tahu kita mempunyai batasan. Kita bukannya sedar sepanjang masa. Bukannya ada sentiasa. Kerana itu kita sentiasa berdoa kepada yang Maha Menjaga. Kita lakukan sehabis yang kita mampu, selebihnya kita serahkan kepada Tuhan. Oleh itu apabila kita mendoakan keluarga atau sahabat kita dalam keadaan selamat, kita mendoakan mereka dengan ucapan "Fi hifzillah" iaitu "dalam jagaan Allah". Allah lah sebaik-baik Penjaga. Dia Maha Mendengar, Maha Melihat, Maha Mengetahui akan setiap apa yang kita kerjakan. Dia tidak pernah tidur dan tidak akan pernah lalai. Maha Suci Allah daripada segala kelemahan. Allah sentiasa ada masa kita berseorangan, ataupun dalam keadaan yang ramai. Saat kita dipercayai orang, mahupun ketika tiada siapa percaya kepada kita. Saat kita sedar ataupun di saat kita sedang tidur. Saat kita sedang mengingatinya, ataupun di saat kita sedang lalai daripadanya. Kerana tu mintalah pertolongan Allah sentiasa. Mintalah Allah menjaga kita sentiasa. Bagaimana kita mahu Allah menjaga kita?


Teringat akan tajuk buku yang ditulis oleh Dr Aidh Al-Qarni iaitu "Ihfazillah yahfazka", jagalah Allah, Allah menjagamu. Mana mungkin sebagai manusia, dan mustahil bagi manusia untuk kita menjaga Allah Yang Maha Sempurna, yang dimaksudkan di sini ialah menjaga hak-hak Allah, nescaya Allah Menjaga kita dalam apa jua keadaan. Jaga hak Allah dengan melaksanakan tuntutan fardu sebaiknya, dengan sempurna. Tambahkan pula dengan amalan2 sunat seperti solat sunat, baca Quran, zikir, saling bantu membantu, sedekah, dan macam-macam lagi. Penjagaan Allah itu mungkin datang dalam banyak cara. Allah menjaga kita daripada pemikiran kita yang sering galau dan resah. Dia memberikan kita ketenangan jiwa dan perasaan. Dia menjaga kita dengan membantu kita menyelesaikan masalah daripada jalan yang mungkin tidak kita sangka. Allah menjaga kita dengan memberikan kita kecukupan, cukup pakaian, makanan, dan tempat tinggal. Allah menjaga kita dengan memberikan kita kesihatan yang baik. Allah menjaga kita dengan menyelamatkan kita dari kecelakaan. Allah menjaga kita dengan menutup aib kita yang kita tidak mahu sesiapapun ketahui. Allah menjaga kita daripada membuat pilihan yang salah. Allah menjaga kita daripada memilih untuk berbuat dosa supaya kita terselamat daripada azab di akhirat nanti. Begitu banyak lagi cara Allah menjaga kita yang mungkin tidak kita bayangkan. Oleh itu jagalah (hak-hak) Allah, nescaya Allah menjagamu.


"Who has created me, and it is He Who guides me; And it is He Who feeds me and gives me to drink. And when I am ill, it is He who cures me; And Who will cause me to die, and then will bring me to life (again)" (Asy-Syuara' :78-82)


Aku tersedar dari lamunan, kemudian tersenyum. Hatiku tenang dan damai. Fikiranku lapang.

Kita ada Allah. Tiada apa yang kita perlu risaukan.

Bersama-sama usaha, iringi dengan doa serta tawakkal kepadaNya.


Jadi kesimpulannya secara keseluruhannya;

- Hargailah pengorbanan ibubapa. Kita tidak mungkin pernah boleh membayangkan bagaimana mereka menjaga kita sebelum kita dilahirkan ke dunia lagi.

- Jagalah Allah, nescaya Allah akan menjagamu. Buat apa yang disuruh, tinggalkan apa yang dilarang. Moga kita dalam jagaanNya sentiasa.


 Fi Hifzillah. Take care =D


*(This is the same post I wrote for our batch's blog- https://misykatmuslimdoctors.blogspot.com/2021/03/menjaga-taking-care-ihtafaz.html)

Read More

© Permata di celahan kaca, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena